All News

AGN PELOPORI PELUANG KERJASAMA DENGAN KUALA TERENGGANU GOLF RESORT

meeting ktgr
 
Unit Media AGN: Pada 9 September yang lalu, pengurusan tertinggi Akademi Golf Nasional UUM (AGN) dengan Kuala Terengganu Golf Resort (KTGR) telah mengadakan satu mesyuarat perintis kerjasama secara atas talian menerusi aplikasi Webex. KTGR merupakan salah sebuah syarikat dibawah UDA Holdings Berhad (GLC) dan ditubuhkan pada 1997. KTGR menyediakan lapangan golf 18 lubang yang terunggul di negeri Terengganu dan menjadi hos Terengganu Masters Golf Invitational 2009) serta memiliki Driving Range sebanyak 15 lapangan.
 
Antara kemudahan lain yang ada di kelab golf tersebut adalah seperti rumah kelab, bilik mesyuarat serta dewan acara. Kuala Terengganu Golf Resort juga mempunyai kemudahan seperti hotel yang bertaraf 4 bintang Ancasa Hotel & Resorts, restoran, kolam renang serta kompleks pengurusan padang golf.
 
Objektif KTGR dalam rangka kerjasama bersama AGN ini adalah untuk membangunkan satu model bagi menambah bilangan pemain golf amatur di Negeri Terengganu khususnya dan untuk seluruh negara secara amnya serta mencipta generasi pelapis bawah umur 40 tahun dalam sukan golf demi kelangsungan sukan golf seluruh negara.
Selain itu, objektif kerjasama ini juga bertujuan membekal tenaga kerja industri golf/hospitaliti yang berpengetahuan serta pemerkasaan jati diri dalam kerjaya dan memberi pendidikan akademik tahap tinggi dalam bidang pentadbiran/pengurusan perniagaan khususnya dalam bidang golf dan hospitaliti.
 
Selain itu, kerjasama ini turut diketengahkan sebagai medium utama dalam memberi peluang kepada golongan belia/dewasa awam untuk melanjutkan pelajaran akademik disamping boleh bermain golf, sekaligus menyumbang pendapatan kepada kelab kelab golf di seluruh negara sebagai ahli kelab golf.
 
Hadir dalam mesyuarat perintis ini, di pihak KTGR diwakili oleh Encik Emirul Azman, Penolong Naib Presiden (PNP) 1 merangkap Pengurus Kelab KTGR; Encik Ahmad Anwar Khoiruddin, Pengurus Kewangan (PNP3) KTGR; Puan Syahrul Zuhara, Ketua Pengurus Pemasaran Aset (Naib Presiden 2) UDA Holdings-KTGR; Puan Syaidatul Jaafar Pengurus Jualan (PNP3) KTGR; dan Encik Shamsir Shah, Penolong Pengurus Pemasaran Aset (PNP3) UDA Holdings-KTGR.
 
Manakala hadir dari pihak AGN adalah Prof. Madya Dr. Zaheruddin bin Othman, Timbalan Pengarah (Pentadbiran & Pembangunan) AGN; Dr. Mohd Adan bin Omar, Timbalan Pengarah (Akademik) AGN; Pro Wan Rosni bin Wan Chik, Ketua Jurulatih Golf / Ketua Unit Latihan AGN; Encik Mohd Rom bin Muslim, Pensyarah AGN; dan Encik Nik Kamarul Anuar bin Abdullah, Pegawai Tadbir AGN.
 
Justeru itu, Prof. Madya Dr. Mohd Sobri bin Don selaku Pengarah AGN menyambut baik hasrat KTGR dan akan berkolaborasi dalam program kerjasama terutamanya dari segi persijilan dalam bidang golf seperti pengurusan kelab golf, pengurusan padang golf, penyediaan makanan dan minuman (F&B), pengurusan acara dan pengurusan bilik hotel.
Sebagai langkah permulaan, KTGR ingin mengadakan perjanjian timbalbalas (reciprocal agreement) dengan Kelab Golf Sultan Sallehuddin bagi memanfaatkan ahli kedua-dua kelab golf ini.
 
Sekian.