All News

SHARING SESSION BERSAMA UNESA LANGKAH SULUNG KERJASAMA VARSITI ANTARABANGSA AGN

unesa sharing session
Oleh Unit Media AGN
 
30 Jun 2021: Pagi tadi telah berlangsungnya program Sharing Session antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan Universitas Negeri Surabaya (UNESA) Bil. 1/2021 secara dalam talian (online) menerusi aplikasi Zoom dengan topik syarahan bertajuk "Asian Athlete Toward International Achievement: Malaysia National Golf Academy's Perspective" yang disampaikan oleh En. Mohd Rom Muslim, Pensyarah AGN yang juga merupakan pakar industri golf yang telah berkecimpung dalam program pembangunan nasional sukan tersebut selama hampir 30 tahun.
 
Di pihak UNESA, Bapak Abdul Hafidz, Wakil Dekan Bidang Kemahasiswaan & Alumni Fakultas Ilmu Olahraga UNESA mewakili Dekan, Dr. Setiyo Hartoto yang mempunyai kekangan untuk hadir bersama memberikan kata-kata aluan pembukaan program yang diselia oleh moderator, Bapak Pak Donny Ardy Kusuma yang juga merupakan Kepala Pusat Studi ASEAN.
 
Manakala Prof. Madya Dr. Zaheruddin Othman, Timbalan Pengarah AGN mewakili Pengarah serta En. Nik Kamarul Anuar Abdullah, Pegawai Tadbir AGN hadir di pihak UUM.
 
Sesi dimulakan dengan perkongsian En. Mohd Rom Muslim mengenai pembangunan sukan golf di Malaysia dengan peranan utama oleh Malaysian Golf Association (MGA) sebagai badan pentadbir sukan nasional, dan seterusnya memfokuskan tentang program Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS) Golf UUM yang merupakan strategi berfokus untuk pembangunan atlit pelapis sukan golf di peringkat universiti. Model AGN mengambil pendekatan serampang dua mata di mana para pelajar atlit golf UUM memiliki dua cabang tumpuan iaitu meneruskan aspirasi untuk menjadi pemain golf yang cemerlang/profesional, di samping mengikuti program pengajian di peringkat tertiari dengan kelulusan SPM dengan syarat khas kemasukan bakat golf.
 
Program ini merupakan lanjutan aktiviti yang dicadangkan hasil dari perbincangan dalam talian antara AGN dengan UNESA pada 15 Mac yang lepas. Aktiviti ini adalah projek pemula bagi mengadakan hubungan kerjasama antara UUM dan UNESA melalui Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) yang akan diadakan kelak.
 
Seramai 156 peserta yang terdiri dari pelajar program dibawah AGN dan Fakultas Ilmu Olahraga UNESA, di mana mereka akan menerima e-sijil yang dikeluarkan oleh penganjur.
 
Tamat.